PANTUN

Pantun Perpisahan

Hari ini menugal jagung,
Hari esok menugal jelai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai.

Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi;
Hari mana bulan yang mana,
Dapat kita bertemu lagi.

Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana puntungnya;
Hilang ghaib kusangka mati,
Kalau mati mana kuburnya.

Batang selasih permainan budak,
Berdaun sehelai dimakan kuda;
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga.

Orang Acheh sedang sembahyang,
Hari Jumaat tengah hari;
Pergilah kasih pergilah sayang,
Pandai-pandai menjaga diri.

Mana Manggung mana Periaman,
Mana batu kiliran taji;
Tinggal kampung tinggal halaman,
Tinggal tepian tempat mandi.

Bintang Barat terbit petang,
Bintang Timur terbit pagi,
Jika tidak melarat panjang,
Ada umur ketemu lagi.

(Dipetik daripada Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa, Tingkatan 2)


JENIS-JENIS PANTUN
1. Dua Kerat
Buah beluluk buah kepayang,
Dimakan mabuk dibuang sayang.

2. Empat Kerat - Teka-teki
Kelip-kelip disangka api,
Kalau api di mana puntungnya;
Hilang ghaib disangka mati,
Kalau mati di mana kuburnya?

3. Empat Kerat - Jenaka
Orang Rengat menanam betik,
Betik disiram air berlinang;
Hilang semangat penghulu itik,
Melihat ayam lumba berenang

4. Empat Kerat - Kasih Sayang
Burung merbuk membuat sarang,
Anak enggang meniti di paya;
Tembaga buruk di mata orang,
Intan berkarang di hati saya.

5. Empat Kerat - Nasihat
Air melurut ke tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

6. Empat Kerat - Budi
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi darjat kerana bahasa.

7. Empat Kerat - Nasib
Payang retak tali bersimpul,
Kendi lokan airnya tumpah;
Hidup tidak kerana kaul,
Mati bukan kerana sumpah.

8. Empat Kerat - Perantau
Pungut teritip di tiang batu,
Batu pecah dilanda karang;
Beginilah nasib dagang piatu,
Kain basah kering di pinggang.

9. Empat Kerat - Adat
Buah berangan di rumpun pinang,
Limau kasturi berdaun muda;
Kalau berkenan masuklah meminang,
Tanda diri beradat budaya.

10. Empat Kerat - Kepahlawanan
Patah rotan tali bersilang,
Batang meranti rimbun berjejal;
Langkah pahlawan di tengah gelanggang,
Berpantang mati sebelum ajal.

11. Empat Kerat - Peribahasa
Punggur rebah puyuh mendengut,
Dengut melata di tengah padang;
Sedangkan bah kapal tak hanyut,
Inikan pula kemarau panjang.

12. Empat Kerat - Kias dan Ibarat
Gesek biola tiup serunai,
Sayu dara berhati walang;
Putih mata si burung punai,
Kayu ara ditunggu helang.

13. Empat Kerat - Agama
Letak bunga di atas dulang,
Sisipkan daun hiasan tepinya;
Banyak berdoa selepas sembahyang,
Mohon diampun dosa di dunia.

14. Empat Kerat - Kanak-kanak
Anak rusa nani,
Baru kembang ekor;
Apa dosa kami,
Lalu tidak tegur.